Laluan utama ke Kudat dinaiki air susulan hujan lebat

KUDAT: Beberapa laluan utama ke Bandar Kudat dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi, sekali gus menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kudat memaklumkan pemantauan telah dijalankan di kawasan hotspot banjir melibatkan Jalan Tamalang dan Jalan Bangau, yang merupakan laluan penting penduduk setempat serta akses utama ke bandar.

Menurut APM, pemantauan bermula sekitar jam 8 pagi melibatkan Skuad Alpha dan Delta, dengan empat anggota dikerahkan ke lokasi. Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua jalan tersebut telah dinaiki air akibat limpahan sungai.

“Anggota APM membantu melancarkan pergerakan kenderaan kecil serta menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan terjejas,” kata APM dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, paras air sungai di Jalan Simpang Stesen Sikuati dilaporkan masih berada pada paras normal dan belum mencapai tahap amaran.

APM turut memaklumkan keadaan cuaca di kawasan terlibat masih hujan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengelakkan melalui kawasan yang dinaiki air sekiranya tidak perlu.