Howard Johnson by Wyndham KK dibuka semula, isyarat keyakinan sektor pelancongan Sabah

KOTA KINABALU: Pembukaan semula Howard Johnson by Wyndham Kota Kinabalu City Centre selepas kerja naik taraf menyeluruh selama setahun dilihat sebagai isyarat keyakinan pemain industri hospitaliti terhadap pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan serta perniagaan di Sabah.

Hotel itu kini beroperasi di bawah jenama hospitaliti antarabangsa Wyndhm Hotel & Resorts sekali gus memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai hab bandar dan pintu masuk utama pelancongan negeri.

Antara tumpuan utama pengubahsuaian ialah pembaharuan reka bentuk dalaman, peningkatan kemudahan bilik tetamu serta ruang awam bagi memenuhi permintaan pelancong perniagaan dan percutian yang semakin menitikberatkan keselesaan serta pengalaman moden.

Sebagai nilai tambah, hotel berkenaan turut memperkenalkan kemudahan baharu di aras bumbung termasuk gimnasium bumbung dan Roofyard (Sunset Garden), yang dijangka meningkatkan daya saing hotel dalam segmen penginapan bandar.

Terletak di kawasan perniagaan utama, hotel ini berada kira-kira lapan kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan berhampiran terminal feri ke destinasi pulau, menjadikannya strategik bagi pasaran pelancong domestik dan antarabangsa.

Howard Johnson by Wyndham Kota Kinabalu City Centre turut menawarkan lima ruang mesyuarat dan acara, sekali gus menyokong pertumbuhan segmen pelancongan perniagaan (MICE) yang dilihat semakin pulih seiring peningkatan pergerakan pelancong dan aktiviti ekonomi sejak kebelakangan ini.

Pembukaan semula hotel itu turut dihadiri wakil agensi pelancongan dan industri hospitaliti negeri, mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha mengukuhkan semula ekosistem pelancongan Sabah.