KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya dilantik sebagai Pengerusi baharu Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dengan status bertaraf menteri.
Susulan pelantikan itu, Shahelmey mengadakan lawatan rasmi dan sesi taklimat ke ibu pejabat SOGDC, yang disambut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat.
Dalam sesi berkenaan, Shahelmey menekankan keperluan memperkukuh tadbir urus korporat, pemantauan prestasi yang berkesan serta pengurusan bersepadu melibatkan SOGDC dan anak-anak syarikatnya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menilai serta memperkemas strategi pelaburan syarikat, dengan tumpuan kepada peluang pelaburan strategik yang mampan, selain memastikan pelaksanaan pelaburan sedia ada berjalan selaras dengan objektif ditetapkan.
Pihak pengurusan SOGDC dalam kenyataan memaklumkan komitmen untuk bekerjasama dengan kepimpinan baharu bagi melaksanakan agenda korporat dan perancangan strategik syarikat.
SOGDC merupakan entiti strategik kerajaan negeri yang berperanan dalam pembangunan sektor minyak dan gas Sabah.
