JANS digesa ambil tindakan drastik selesaikan masalah air di Kem Lok Kawi

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengambil tindakan segera dan drastik bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan di Kem Lok Kawi.

Beliau berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana Kem Lok Kawi merupakan penempatan anggota tentera yang berperanan penting dalam menjaga keselamatan Sabah dan negara.

Menurutnya, kemudahan asas seperti bekalan air bersih adalah faktor utama dalam menjaga kebajikan serta moral anggota tentera dan keluarga mereka.

Jeffery turut memaklumkan setiap keluarga tentera di kem berkenaan dikenakan bayaran secara pukal melalui potongan gaji bulanan antara RM15 hingga RM20, namun masalah bekalan air masih berterusan.

Katanya, penggunaan air di kawasan Kem Lok Kawi dianggarkan mencecah hampir sejuta liter, manakala sistem ‘water boring’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan ketika ini masih tidak mencukupi dan keberkesanannya dalam jangka panjang belum dapat dipastikan.

Beliau berkata masalah berkenaan telah berlarutan sekian lama dan memerlukan penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang yang lebih menyeluruh.