KOTA KINABALU: Sabah mengambil langkah strategik untuk memacu pelaburan dan pembangunan industri dengan pelantikan tokoh berpengalaman dalam sektor perindustrian dan logistik negeri.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan watikah pelantikan kepada Datuk Seri Panglima Madius Tangau sebagai Pengerusi Kumpulan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah.
”Ini termasuk Datuk Roger Chin sebagai Pengerusi Invest Sabah Berhad. Bekas Pengarah Kastam Sabah, Datuk Jonathan Kandok, turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi POIC Sabah,” jelasnya.
Ewon menegaskan bahawa pelantikan ini selaras dengan pendekatan ‘Sabah First’, dengan fokus memastikan ekosistem pelaburan dan keusahawanan negeri lebih mesra pelabur, inklusif dan berimpak tinggi.
“Dengan pengalaman luas ketiga-tiga tokoh ini, kami yakin POIC Sabah dan Invest Sabah akan terus menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh daya saing ekonomi negeri, dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya.
Ketiga-tiga yang dilantik merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan berikrar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen.
