KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, hari ini menerima semakan terakhir Buku Belanjawan 2026, sekali gus menandakan persiapan akhir sebelum dokumen itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Jumaat, jam 3 petang.
Belanjawan bertema “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan” itu dijangka memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pengukuhan tadbir urus kewangan negeri.
Penyerahan dokumen dibuat oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Sofian Alfian Nair, disertai Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), Chee Shok Ting, dan Setiausaha Rendah Bahagian Belanjawan, Mohd Faizal Mohd Tahir.
Majlis ringkas itu turut dihadiri Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong dan Datuk Mohd Ishak Ayub, bersama beberapa pegawai kanan kementerian.
Pembentangan belanjawan Jumaat ini bakal menjadi tumpuan, khususnya berhubung keutamaan perbelanjaan 2026 dan hala tuju pembangunan negeri.
