Ewon Ungkap Kemenangan Besar, Rakyat Akan Pilih Ketua Kampung

KOTA BELUD: ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menegaskan kemenangan besar pada PRU17 Sabah bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi mandat rakyat untuk membawa perubahan dalam pembangunan dan pentadbiran kampung.

Beliau berkata majoriti 9,672 undi menunjukkan rakyat mahukan pentadbiran yang lebih tersusun dan telus, serta pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Ewon turut mengucapkan terima kasih kepada 11,977 pengundi yang menyokongnya, sambil menekankan bahawa tumpuan kini adalah untuk bersatu dan melaksanakan agenda pembangunan, bukannya kembali berkempen.

Sebagai langkah pembaharuan, bermula Januari 2026, Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di seluruh Kadamaian akan dipilih melalui undian rakyat. Penggal dua tahun memberi peluang penduduk menilai prestasi pemimpin sebelum mengekalkan atau menukar mereka.

Dalam aspek pembangunan, setiap kampung akan menerima sekurang-kurangnya RM20,000 untuk projek kecil yang dikendalikan JKKK sendiri, kecuali diputuskan melalui mesyuarat rasmi. Ewon menegaskan langkah ini bertujuan memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Selain itu, Ewon mengumumkan pertemuan bersama pastor dan wakil gereja seluruh Kadamaian pada 18 Disember untuk penyerahan sumbangan Krismas dan Tahun Baharu, manakala sambutan perayaan peringkat Kadamaian dijadual berlangsung pada 5 Januari 2026.