TENOM: Projek tebatan banjir di Tenom akan diteruskan walaupun beberapa kampung tidak termasuk dalam jajaran fasa pertamanya, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar.
Jelasnya, projek itu adalah inisiatif kerajaan yang tidak boleh dihentikan meskipun terdapat kebimbangan penduduk mengenai keberkesanan perlindungan di kawasan yang tercicir.
“Isu utama yang dibangkitkan dalam dialog bersama JPS Sabah ialah nasib kampung seperti Kampung Ului, Kampung Makakagas dan Kampung Binaie.
”Mereka bimbang kawasan mereka menjadi ‘zon terpinggir’ jika struktur tebatan menyebabkan aliran banjir beralih dan membentuk sempadan semula jadi.
“JPS memaklumkan bahawa cadangan fasa dua sedang disediakan untuk dikemukakan kepada kerajaan persekutuan,” kata di sini semalam.
Menurutnya, Fasa tambahan itu akan melibatkan pelebaran sungai serta pendalaman tebing di kawasan sungai mati yang kini membentuk aliran baharu berbanding lima tahun lalu, bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh.
“JPS turut menjelaskan bahawa tanpa kerja pengorekan bagi menambah kapasiti takungan, paras air di kawasan berisiko boleh meningkat antara 8 hingga 12 inci.
“Penjelasan teknikal itu penting untuk memastikan penduduk memahami rasional projek dan langkah jangka panjang kerajaan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata program Kebun Dapur yang diperkenalkan MAFFI menerima sambutan positif sebagai usaha meningkatkan pendapatan dan sara diri penduduk luar bandar.
Program itu – yang menggalakkan penanaman sayur serta penternakan kecil – dijangka ditawarkan melalui pakej khas bermula Februari selepas model kebun dimuktamadkan.
Kerajaan turut merancang mewujudkan pusat pengumpulan hasil untuk memasarkan lebihan tanaman secara lebih teratur.
Menurut Jamawi, respons penduduk yang semakin aktif bercucuk tanam menunjukkan inisiatif itu mampu berkembang menjadi sumber pendapatan baharu dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
