KOTA KINABALU: “Terima kasih atas mandat ini. Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat.”
Itu reaksi awal Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, selepas gabungan itu berjaya mempertahankan mandat rakyat dalam PRN Sabah.
Hajiji menyifatkan sokongan yang diterima bukan sekadar undi, tetapi satu mesej jelas bahawa rakyat mahu kesinambungan dasar serta hala tuju pembangunan Sabah yang lebih teratur.
“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan ini. Sokongan tidak berbelah bahagi rakyat menjadi pemangkin kepada kemenangan ini,” katanya.
Beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan bab baharu – satu fasa yang menuntut pembaharuan tekad serta usaha lebih besar bagi mengangkat Sabah ke tahap lebih maju dan stabil.
Menurutnya, komitmen GRS sejak awal berpandukan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dan kesinambungan SMJ 2.0 kini menjadi tumpuan utama melalui empat tonggak:
Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, dan Sabah United.
“Kita mahu pembangunan yang bukan sahaja bermakna, tetapi menyatukan. Kita mahu menjambatani perbezaan, bukan menambah jurang,” tegasnya.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa kerajaan GRS akan bekerja “tanpa henti” untuk memenuhi aspirasi rakyat, sambil menegaskan bahawa setiap suara – “walau sekecil mana sekalipun” – tetap diberi perhatian.
Beliau dalam masa sama mengajak pihak lawan yang bertanding untuk kembali merapatkan saf demi kepentingan Sabah.
“Marilah kita merangkul semangat demokrasi dan bekerja secara kolaboratif demi rakyat dan masa depan Sabah,” katanya.
