Mangsa hilang ketika menyelam di Pulau Bum-Bum ditemui mati

SENPORNA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ketika menyelam untuk menangkap ikan di perairan Pulau Bum-Bum, Semporna, ditemui meninggal dunia petang semalam.

Menurut Komander Operasi, PBK II Mohd Nor Marasik, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada APMM Semporna pada jam 9 pagi (20 Nov) memohon bantuan mencari mangsa yang hilang di laut sejak 19 Nov.

Pasukan bomba kemudian mendapatkan maklumat mangsa sebelum memulakan pencarian sekitar kawasan dia dipercayai hilang. Gangguan liputan GIRN dan rangkaian telefon dilaporkan berlaku sepanjang operasi.

Pada hari kedua, operasi SAR dimulakan pada jam 8.20 pagi bersama APMM, APM dan PDRM.

Pada jam 4.13 petang, keluarga mangsa menemui mayat lelaki berusia 36 tahun itu di kawasan Pancang Pusingan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin. PDRM mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak berwajib.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang.

Operasi disertai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna menggunakan sebuah bot Kevlar.