Bongawan Berpotensi Jadi Hab Minyak Dan Gas Sabah,  Kata Anifah

BONGAWAN: Calon GRS, Tan Sri Anifah Aman, yakin Bongawan berpotensi menjadi Hab Minyak dan Gas (O&G) utama di Sabah jika diberi mandat PRU17.

Anifah berkata pengalaman beliau mewujudkan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis sebelum ini serta hubungan baik dengan pihak berkaitan, termasuk luar negara, menjadi asas bagi perancangan ini.

“Ini bukan sekadar janji politik. Jika SOGT di Kimanis boleh berjaya, Bongawan juga mampu menjadi hab industri tenaga, memberi manfaat ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat setempat, terutamanya anak muda,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau menambah pembangunan itu juga akan memodenkan infrastruktur Bongawan seperti jalan raya, pelabuhan/logistik, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, menjadikan kawasan ini tumpuan baru Sabah, setanding Bintulu di Sarawak atau Kemaman di Terengganu.

Anifah menyeru rakyat Bongawan memberi mandat PRU17 bagi merealisasikan aspirasi itu, menebus legasi yang belum selesai, dan memastikan manfaat pembangunan dinikmati semua, bukan pihak tertentu sahaja.

“Kini masanya membawa Bongawan ke tahap lebih tinggi — melangkaui retorik, menuju pelaksanaan sebenar,” katanya.