Dr Aliakbar Difitnah Lagi, Terus Buat Report Polis

KOTA KINABALU – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar, membuat laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Remeo Ansow yang didakwa memuat naik kenyataan fitnah terhadapnya.

Menurut Dr Aliakbar, hantaran Facebook tersebut sangat jahat, bersifat mengaibkan dan boleh mengelirukan pengundi sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

Beliau berkata, dalam posting itu dia digambarkan seolah-olah mengeluarkan kenyataan berbaur ekstrem ketika berkempen, kononnya berkata:

“Arak dan judi tidak patut ada di tanah Karambunai, justeru itu saya berusaha untuk menghapuskan arak bermula di Karambunai sehinggalah ke bumi Sabah.”

Jelasnya, kenyataan tersebut adalah palsu sepenuhnya dan tidak pernah diucapkannya dalam mana-mana ceramah atau sesi walkabout.

“Posting itu jelas satu fitnah besar. Ia dibuat tanpa merujuk mana-mana sumber, malah menggambarkan saya seolah-olah mencampuri urusan sensitif agama dan budaya masyarakat,” katanya.

Dr Aliakbar turut mendakwa Remeo merupakan penyokong atau pencadang kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Karambunai.

Lebih mengejutkan, menurut beliau, ini bukan kali pertama individu itu membuat dakwaan palsu terhadapnya.

“Sebelum ini, ketika saya menziarahi kematian seorang warga bukan Islam di Karambunai, dia turut memfitnah saya dengan pelbagai tuduhan. Ini sudah kali kedua,” katanya.

Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil demi menjaga integriti proses demokrasi serta mengelakkan penyebaran fitnah yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat