SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat Flat Sim-Sim di Jalan Buli Sim-Sim, petang tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Chauslim Sunsubin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang sebelum tujuh anggota bersama jentera FRT dan unit EMRS digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan menemukan mangsa terbaring di kawasan tangga. Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Chauslim berkata, operasi ditamatkan pada jam 3.21 petang selepas kawasan dipastikan selamat.
Polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
