Notis Rayuan Versi Baharu ‘Ubah Sifat Rayuan’, Jejas Hak 40 peratus Sabah – Roger

KOTA KINABALU: Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin mendakwa versi terkini Notis Rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus hasil bersih Sabah telah “secara material mengubah sifat rayuan” dengan memasukkan dua elemen baharu yang membawa implikasi besar.

Dalam addendum kepada kenyataan terdahulu, Roger berkata penambahan pertama melibatkan frasa baharu dalam Perenggan 1 yang merujuk kepada arahan mahkamah.

Ini berkaitan “tatacara dan/atau proses” untuk menjalankan semakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan — frasa yang tidak pernah wujud dalam notis awal.

Katanya, kemasukan itu kini memberi kesan langsung kepada jadual masa 90 hari bagi semakan sah serta tempoh lanjutan 180 hari seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.

Menurut Roger, garis masa tersebut merupakan mekanisme penting untuk mengelakkan kelewatan lanjut dalam pelaksanaan hak Sabah, namun rayuan versi kemudian itu dilihat secara jelas mencabar keperluan masa yang ditetapkan mahkamah.

“Rayuan ini bukan lagi bersifat teknikal tetapi menyentuh inti pati keupayaan keputusan itu dikuatkuasakan,” katanya.

Penambahan kedua pula, jelas Roger, ialah satu penafian baharu yang menyatakan kerajaan pusat “tidak merayu formula 40 peratus atau keperluan untuk mengadakan semakan”.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penafian itu tidak mengubah hakikat bahawa inti substantif rayuan masih menyasar asas-asas penghakiman Mahkamah Tinggi, termasuk dapatan berhubung pelanggaran kewajipan perlembagaan, ketiadaan semakan sah sejak 1973, ketidaksahan Warta 2022–2025 serta perintah ganti rugi perlembagaan.

“Formula itu mungkin kekal di atas kertas, tetapi alasan yang menjadikannya bermakna — alasan yang memberi kesan sebenar kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan — masih dirayu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua penambahan itu meletakkan formula 40 peratus seolah-olah “tidak disentuh secara teori”, namun dalam masa sama berpotensi melemahkan keseluruhan struktur arahan yang menyokong keberkesanannya.

Roger turut menegaskan bahawa rayuan versi terkini itu dilihat terus menyasarkan dapatan kritikal Mahkamah Tinggi, termasuk penjelasan mengenai “Tahun-Tahun Yang Hilang” — tempoh 48 tahun dari 1974 hingga 2021 di mana semakan mandatori tidak dilakukan dan hak Sabah tidak dibayar.

“Ini perkembangan besar. Notis kemudian ini meluaskan skop rayuan jauh melebihi apa yang difahami pada awalnya. Penting untuk orang ramai tahu apa yang berubah dan apa yang sebenarnya dipertaruhkan,” katanya.