Pitas Terus Jadi Mangsa Banjir, PPS Baharu Masih Gagal Disiapkan – Harun

KUDAT:  Projek pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Daerah Pitas yang sepatutnya siap sejak 2023, masih gagal disiapkan sehingga hari ini.

Masalah sudah tentu menimbulkan kebimbangan dalam penduduk yang saban tahun berdepan bencana banjir.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas, Datuk Harun Ismail, berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana Pitas merupakan antara kawasan yang kerap dilanda banjir sekali gus memerlukan kemudahan pemindahan yang lebih selesa serta terancang.

Menurutnya, projek berkenaan boleh disiapkan dalam tempoh kurang setahun, namun terus terbengkalai tanpa penjelasan jelas daripada pihak bertanggungjawab.

“Kita tidak tahu di mana silapnya. Adakah berpunca daripada kontraktor, subkontraktor atau masalah lain yang tidak didedahkan kepada rakyat?” katanya.

Harun menegaskan, kelewatan projek itu menyebabkan penduduk Pitas terus terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara sedia ada seperti sekolah, yang tidak sesuai untuk menampung jumlah mangsa yang ramai.

“Jika banjir berlaku pada bila-bila masa, penduduk sekali lagi berdepan kesusahan kerana kemudahan sekarang sangat tidak selesa,” katanya.

Beliau berharap projek itu segera diselesaikan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terjamin setiap kali musim tengkujuh melanda.