KOTA KINABALU: Suasana kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN Sabah) Ke-17 sudah mula hangat dengan perang bendera pelbagai parti menghiasi beberapa lokasi strategik di sekitar bandar raya ini.
Namun, tinjauan mendapati poster dan kain rentang calon masih belum kelihatan dipasang, meskipun tempoh kempen telah pun bermula secara rasmi.
Beberapa kawasan tumpuan seperti pusat bandar, jalan utama dan lokasi tumpuan awam hanya dipenuhi bendera parti, tanpa kelibat wajah calon yang bertanding.
Pemerhati politik berpendapat keadaan itu mungkin disebabkan strategi kempen berperingkat atau kelewatan mendapatkan bahan promosi individu calon.
Situasi berkenaan sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengundi yang menantikan maklumat lebih jelas mengenai calon-calon yang bakal mereka pilih pada hari pengundian nanti.
