Anifah Aman diumum calon GRS di DUN Bongawan

BONGAWAN: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman, diumum sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah Ke-17.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang optimis kerusi berkenaan mampu dirampas semula daripada pembangkang.

“Kalau GRS, parti komponennya dan jenteranya mantap, ditambah dengan sokongan rakyat serta perpaduan kukuh, saya yakin Bongawan ini milik GRS dan kita mahu menang,” katanya ketika berucap di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, GRS bertekad memastikan DUN Bongawan kembali diwakili parti kerajaan bagi merealisasikan slogan “Bongawan Maju” serta melaksanakan pelbagai program pembangunan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik Sabah hanya dapat dicapai melalui perpaduan dan sokongan padu rakyat terhadap GRS dalam PRU Sabah yang dijadualkan pada 29 November ini.

“Kita mahu terus membentuk kerajaan yang stabil supaya lebih banyak program ekonomi dan pembangunan dapat dirancang untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Hajiji dalam masa sama mengingatkan rakyat agar tidak termakan dakyah, fitnah dan retorik pembangkang yang hanya mahu menggugat perpaduan serta keyakinan terhadap kerajaan sedia ada.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, sambil menegaskan Sabah akan terus mempertahankan haknya tanpa menjejaskan kepentingan negara.

“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana mereka mentadbir negara ini.

“Walau apapun, kita pertahan hak negeri, tetapi kita juga harus pertahankan negara,” ujarnya.

Dengan pengumuman pencalonan Anifah Aman ini, GRS dilihat semakin bersiap sedia menghadapi PRU Sabah Ke-17, sekali gus memperkukuh misi mempertahankan kestabilan dan kemajuan negeri.