BELURAN: Impian penduduk Tongod untuk memiliki tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri sudah menyerahkan lebih 3,700 geran tanah sejak tahun 2008.
Usaha itu hasil ketegasan Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, yang memperkenalkan dasar menolak kemasukan syarikat luar ke kawasan rizab kerajaan demi memberi peluang kepada penduduk tempatan.
“Kita tidak mahu tanah orang kampung dikuasai syarikat mega. Keutamaan mesti diberi kepada rakyat asal Kuamut supaya mereka boleh memiliki tanah sendiri dan menjana pendapatan,” katanya di sini semalam.
Menurut Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sandakan, sejak 2024 sebanyak 2,346.73 ekar tanah sudah diukur menerusi Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Manakala 724 lot diwartakan sebagai tapak perkampungan di enam kampung – Mangkawagu, Minusuh, Liupampang, Tampasak, Alitang dan Saguon.
Lebih 10,000 ekar tanah lagi kini dalam proses pengukuran membabitkan kawasan Penangah, Entilibon, Tongod dan Inarad melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah bagi memastikan tanah rizab kerajaan terus dimanfaatkan penduduk tempatan.
“Kita mahu rakyat memiliki tanah sendiri, bukan hanya menjadi penonton apabila syarikat luar datang ambil peluang ekonomi di tempat mereka,” tegas Masiung.
Program itu turut disertai lebih 300 penduduk Kuamut yang bekerja di syarikat-syarikat sawit sekitar Sapi Nangoh, diketuai Pengerusi Penganjur, Aslan Timoi, yang menyatakan sokongan terhadap perjuangan Masiung membela hak rakyat Kuamut.
