KENINGAU: Sistem pengangkutan awam di daerah ini bakal berwajah baharu apabila pembinaan Terminal Bas Pengangkutan Awam Bersepadu Keningau atau Keningau Sentral diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030).
Projek itu yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri Sabah akan menjadi hab moden dan tersusun bagi kemudahan penduduk serta pelancong yang menjadikan Keningau sebagai destinasi persinggahan utama.
Ketua Penyelaras Pemuda GRS Keningau, Rafie Robert berkata, terminal berkeluasan 30,000 kaki persegi itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hentian berbumbung, tandas, surau, ruang niaga, 500 petak parkir serta sistem keselamatan lengkap seperti pagar dan CCTV.
“Keningau Sentral bakal menjadi pusat tumpuan baharu untuk perkhidmatan bas setempat dan jarak jauh.
“Ini sekali gus menghubungkan Keningau dengan bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Sipitang, Beaufort, Menumbok, Tambunan, Tenom, Sook, Nabawan, Ranau dan Sandakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selain meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna, projek berimpak tinggi itu juga akan menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui pembangunan ruang perniagaan serta aktiviti keusahawanan di sekitar kawasan terminal.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas komitmen yang tidak pernah putus dalam memajukan daerah Keningau,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu seiring dengan usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur luar bandar dan memastikan kemudahan awam di daerah utama seperti Keningau terus dipertingkat demi manfaat rakyat.
