KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) berharap Kerajaan Persekutuan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah menetapkan dengan jelas dan tersusun mengenai kaedah pembayaran balik geran khas berkenaan.
“Kita sebagai rakyat Malaysia harus menghormati Perlembagaan negara ini. Saya berharap tiada lagi rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu kerana ia mungkin menimbulkan pelbagai spekulasi dan keraguan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Shafie yang juga mantan Ketua Menteri turut merayu kepada majikan di Semenanjung Malaysia agar memberi cuti khas kepada rakyat Sabah yang bekerja di sana supaya mereka dapat pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Jangan nafikan hak mereka untuk mengundi. Saya juga berharap syarikat penerbangan dapat menawarkan harga tiket yang lebih rendah bagi memudahkan mereka pulang,” ujarnya.
Beliau turut menyeru pengundi baharu termasuk yang berusia 18 tahun supaya turun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Turunlah beramai-ramai untuk menentukan masa depan anda,” katanya.
Dalam sidang media sama, mantan Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk William Majinbon, bersama 100 ahli PBS dari Inanam mengumumkan penyertaan ke dalam WARISAN.
Turut menyertai parti itu ialah mantan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chrisnadia Sinam, bersama 50 ahli daripada pelbagai latar belakang.
