Warisan persoal tindakan Menteri Pendidikan benarkan suspek SPM menduduki peperiksaan

TAWAU: Parti Warisan menyuarakan rasa tidak setuju terhadap kenyataan Menteri Pendidikan yang didakwa terlalu bertolak ansur apabila membenarkan suspek kes jenayah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Ketua Penerangan Warisan, Justin Wong, berkata keputusan itu menimbulkan persoalan sama ada siasatan dalaman sudah diselesaikan secara telus sebelum kenyataan dibuat.

Menurutnya, kenyataan sedemikian boleh memberi mesej yang salah kepada masyarakat, khususnya kepada generasi muda, seolah-olah seseorang tidak perlu bertanggungjawab terhadap kesalahan sendiri.

“Keputusan pihak sekolah untuk membuang pelajar tersebut sudah menunjukkan wujudnya penglibatan dalam kes itu. Maka, Kementerian Pendidikan tidak wajar bersikap terlalu longgar terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes yang melibatkan pelajar dan unsur jenayah tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu menjejaskan disiplin serta integriti sistem pendidikan negara.

“Jika tiada tindakan tegas diambil, ia seolah-olah memberi ruang kepada pelaku untuk percaya bahawa kesalahan tidak membawa akibat.

“Lebih membimbangkan, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa sistem pendidikan melindungi pesalah,” ujarnya.

Justin menegaskan, Menteri Pendidikan sebagai pemimpin sepatutnya menunjukkan ketegasan moral serta prinsip yang jelas agar tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani.

“Apatah lagi pelajar terbabit sudah dibuang sekolah, secara teknikalnya mereka bukan lagi pelajar.

“Jadi, atas dasar apa menteri boleh menentukan mereka layak menduduki peperiksaan? Jika kes sudah selesai dan atas dasar kemanusiaan kerajaan mahu memberi peluang kedua, itu perkara lain,” katanya.