SAN Tambunan Terus Beroperasi, Pembelajaran Murid Tidak Terjejas

TAMBUNAN: Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas walaupun sebahagian bangunan sekolah itu terbakar baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani, berkata operasi sekolah tetap diteruskan dengan menggunakan bangunan dan asrama yang masih selamat digunakan.

“Bangunan yang terbakar membabitkan sembilan buah kelas, sebuah blok bilik guru serta asrama di bahagian belakang yang turut menempatkan pengguna Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT),” katanya ketika ditemui media selepas mengiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, melawat sekolah berkenaan, hari ini.

Menurutnya, langkah awal telah diambil oleh pihak jabatan sebaik mendapat kebenaran daripada pihak bomba dan keselamatan untuk membersihkan kawasan terjejas bagi membolehkan sesi pembelajaran diteruskan.

“Jurutera turut diarahkan memastikan sistem pendawaian di bangunan tidak terjejas. Asrama yang masih selamat juga akan digunakan sebagai kelas sementara serta bilik guru bagi memastikan pengajaran berjalan lancar,” jelasnya.

Dalam masa sama, Jumain memaklumkan pihaknya mempunyai perancangan jangka panjang untuk menaik taraf SAN Tambunan menjadi sekolah integrasi yang menggabungkan pendidikan agama dan akademik.

Katanya, transformasi itu dijangka menarik lebih ramai pelajar, sekali gus memerlukan kemudahan asrama yang lebih besar bagi menampung keperluan semasa.

“Pada masa ini, kapasiti asrama hanya 80 orang, sedangkan seramai 170 pelajar tinggal di situ. Jabatan akan memastikan semua pelajar dapat meneruskan pembelajaran dalam keadaan selamat dan teratur,” tambah beliau.