7 PATI Dicekup Dalam Operasi Imigresen di Semporna

SEMPORNA: Seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Imigresen Semporna yang dijalankan dari 7 hingga 8 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, berkata operasi yang disertai tujuh pegawai penguat kuasa itu dijalankan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di daerah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan terhadap 25 individu dijalankan dan hasilnya tujuh orang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tujuh individu yang ditahan terdiri daripada warganegara China dan Pakistan.

JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersekongkol dengan PATI. Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang,” katanya.