TONGOD: Kestabilan politik perlu dikekalkan di Sabah bagi memastikan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan dapat diteruskan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat, kata Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, pengalaman Sabah yang berdepan tiga kali pertukaran kerajaan dan tiga Ketua Menteri dalam tempoh dua penggal lalu jelas menunjukkan bahawa ketidaktentuan politik hanya membawa kerugian kepada rakyat.
“Kita perlu hentikan perebutan kuasa politik dan sebaliknya bergerak sebagai satu keluarga besar merangkumi belia, penduduk kampung, penjawat awam serta pekerja swasta untuk memperbaiki negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Masiung berkata demikian selepas menyerahkan 55 set jersi kepada pasukan bertanding dalam Kejohanan Bola Sepak Tertutup 9 Sepasukan Piala DMB serta melancarkan pelepasan 155 atlet remaja Tongod yang akan menyertai Sukan Sabah (SAGA) di Tawau bermula 11 Oktober ini.
Menurutnya, pertukaran kerajaan yang kerap menjadi antara punca utama kelewatan dan kegagalan pelaksanaan projek pembangunan rakyat yang dirancang oleh kerajaan terdahulu.
“Bayangkan pelan pembangunan lima tahun tergendala apabila kerajaan bertukar, dasar berubah dan pegawai bertukar. Akhirnya rakyat yang menanggung kerugian,” katanya sambil menasihatkan golongan muda agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik berasaskan hasutan.
Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, rakyat Sabah perlu mencontohi Sarawak yang kekal stabil politiknya selama lebih 60 tahun tanpa pertukaran kerajaan, hanya bertukar Premier apabila tamat tempoh perkhidmatan.
Sementara itu, beliau menjelaskan pembinaan Kompleks Sukan Tongod tergendala berikutan kegagalan kontraktor yang dilantik kerajaan terdahulu menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual, namun menegaskan usaha akan diteruskan agar kompleks itu tidak menjadi projek terbengkalai.
