Majlis Kementerian Dicemari Arak, Parti Rumpun Sabah Tuntut Penjelasan

KOTA KINABALU: Parti Rumpun Sabah (RUMPUN SABAH) mengecam keras tindakan Menteri Pelancongan dan pihak penganjur yang dikatakan menganjurkan majlis rasmi kerajaan dicemari dengan aktiviti minum arak baru-baru ini.

Yang Dipertua RUMPUN SABAH, Ismail Idris, berkata tindakan itu amat tidak wajar dan mencerminkan sikap tidak sensitif terhadap nilai agama serta budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Perbuatan sebegini bukan sahaja melanggar adab serta etika acara rasmi kerajaan, malah menyinggung perasaan majoriti umat Islam di negara ini. Ia menunjukkan betapa longgarnya kawalan dan kepekaan dalam majlis rasmi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, insiden seumpama itu boleh menjejaskan imej negara di mata dunia dan menggugat keharmonian yang sekian lama menjadi kebanggaan rakyat Sabah.

“Sabah selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan penuh toleransi antara kaum serta agama. Tetapi kejadian seperti ini memberi gambaran songsang terhadap wajah sebenar Malaysia,” katanya.

Menurut Ismail, Parti Rumpun Sabah berpaksikan lima teras perjuangan, termasuk memperkukuh perpaduan rumpun serta menjunjung prinsip Rukun Negara, khususnya Kesopanan dan Kesusilaan.

Beliau menegaskan, setiap kementerian dan pemimpin kerajaan perlu lebih berhati-hati dan memastikan semua program rasmi mencerminkan nilai budaya, adat serta agama yang luhur.

“RUMPUN SABAH menyeru agar agenda pembangunan negara tidak dicemari budaya yang merosakkan, sebaliknya dibina atas asas yang halal, bersih dan berkat demi maruah rakyat serta masa depan generasi akan datang,” katanya.

Ismail menegaskan bahawa nilai maruah, hormat dan kesopanan adalah wajah sebenar Malaysia yang mesti dipertahankan.

“Kita Satu Rumpun Bah — maruah, respect dan kesopanan inilah yang mencerminkan identiti rakyat Malaysia sebenar,” katanya.