TAWAU: Parti Warisan (WARISAN) tidak akan memberi peluang kepada mana-mana bekas ahli yang pernah melompat parti untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ketetapan itu dibuat bagi menamatkan budaya politik tidak berprinsip yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
Bagaimanapun, katanya, parti itu tetap terbuka menerima penyertaan ahli baharu termasuk daripada bekas ahli parti lain, namun penyertaan mereka hanya sebagai ahli biasa dan bukan calon pilihan raya.
“Kadangkala ada yang mahu kembali menyertai parti kerana ingin menjadi calon. Jika begitu, tidak boleh. Keutamaan kita adalah kestabilan politik dan mengembalikan mandat rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Slogan Kempen PRN Sabah ke-17 bertemakan ‘Selamatkan Sabah’ di sini, hari ini.
Mohd. Shafie berkata, slogan tersebut menggambarkan semangat perpaduan rakyat Sabah dan komitmen WARISAN untuk menawan semula pentadbiran negeri selain memperkukuh kesatuan dalam parti.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menerima kemasukan lebih 1,600 ahli baharu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke dalam WARISAN.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shafie mendedahkan parti itu sedang merangka peraturan dalaman bagi menghalang budaya lompat parti, termasuk mewajibkan semua calon menandatangani surat akuan bersumpah (SD).
Menurutnya, mana-mana wakil rakyat WARISAN yang keluar parti selepas menang pilihan raya akan gugur keahlian, diwajibkan mengosongkan kerusi serta dikenakan denda RM10 juta.
