KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yakin projek mega Jesselton Docklands bernilai RM4.2 bilion mampu menjadi pemangkin perubahan sebenar ekonomi negeri ini.
Terletak di bekas tapak Pelabuhan Kota Kinabalu lama, pembangunan tepi laut seluas 35 ekar itu dijangka membawa limpahan ekonomi merentas pelbagai sektor.
Menurut beliau, projek berkenaan bukan sahaja akan mencipta ribuan peluang pekerjaan, malah berpotensi besar menarik pelaburan asing, merancakkan sektor pelancongan, serta memacu pertumbuhan industri seperti pembinaan, runcit, makanan dan minuman serta perkhidmatan tempatan.
“Ia akan mengubah landskap tepi laut Kota Kinabalu menjadi sebuah kawasan bandar moden, ceria dan mampan.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi berterusan kawasan bersejarah ini,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Jesselton Docklands di sini hari ini.
Teksnya disampaikan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad dan anak syarikat miliknya, Sabah Ports Sdn Bhd atas peranan strategik mereka membuka potensi kawasan pelabuhan ikonik itu sejak operasi kontena dipindahkan ke Teluk Sapangar pada 2007.
Tambahnya, projek tersebut turut merangkumi pembinaan terminal feri antarabangsa moden selepas pemindahan terminal penumpang utama ke South Jetty.
“Kemudahan ini dijangka meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kecekapan para pengembara, seiring dengan pembangunan Terminal Persiaran Antarabangsa yang dirancang dalam pelan induk Jesselton Docklands.
“Antara komponen utama projek ialah terminal persiaran khusus, hotel, kediaman, presint budaya serta zon komersial yang dijangka mengubah wajah Kota Kinabalu sebagai hab pelancongan dan gaya hidup serantau,” jelasnya.
Menurutnya, fasa kedua pembangunan Jesselton Quay melalui usaha sama dengan SBC Corporation Berhad turut dijangka mempercepatkan transformasi kawasan itu.
Hajiji menegaskan, inisiatif ini mencerminkan kejayaan model perkongsian awam-swasta (PPP) yang menggabungkan kekuatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan modal swasta untuk menjayakan projek berimpak tinggi.
“Ini sejajar dengan teras strategik Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pertumbuhan ekonomi, kemampanan dan keterangkuman sosial,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM100,000 daripada BEDI Development dan Suria Capital kepada mangsa banjir dan bencana alam baru-baru ini, sebagai bukti komitmen sosial pemain industri terhadap rakyat Sabah.