TAWAU: Lima lelaki ditahan selepas polis merampas 45 botol berisi cecair disyaki air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan menerusi Ops Tapis itu dilakukan hasil risikan dan maklumat mengenai kegiatan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan badan tidak menemui barang salah, namun pemeriksaan lanjut dalam rumah menemukan sebuah peti berisi 45 botol dipercayai air ketum dan satu kotak coklat mengandungi 10 paket daun ketum kering,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semua suspek bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.