TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggesa Jetama Sdn Bhd untuk memperluaskan pemasangan sistem air minum penapisan nano bertenaga solar ke lebih banyak kawasan pedalaman di negeri ini.
Beliau berkata, sistem tersebut terbukti mampu membekalkan air terawat daripada sumber telaga tiub kepada penduduk yang tidak mendapat akses bekalan air bersih.
“Sistem ini sangat baik dan sesuai digunakan di kawasan pedalaman yang sukar mendapat saluran paip utama, termasuk di pulau-pulau.
“Saya telah meminta Jetama untuk mempertimbangkan pemasangan sistem ini di lebih banyak kampung pedalaman,” katanya ketika melawat kemudahan baharu sistem air minum bertenaga solar di Kampung Baru-Baru, di sini hari ini.
Menurut beliau, penduduk Kampung Baru-Baru sebelum ini tidak pernah menikmati bekalan air terawat disebabkan kedudukan kampung yang terlalu jauh dari saluran paip utama.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Jetama kerana memilih kampung ini untuk pemasangan sistem tersebut,” katanya.
Sistem air minum mudah alih berkuasa sendiri itu membabitkan kos kira-kira RM1.2 juta dan mempunyai kapasiti menghasilkan 30,000 liter air sehari.
Ia turut dilengkapi dengan sensor serta pengawal pintar bagi memantau kualiti air dan prestasi sistem secara automatik, selain boleh menyesuaikan operasi mengikut keperluan.
Air terawat yang dihasilkan akan disimpan di dalam tangki khas dan diagihkan ke rumah penduduk melalui sistem paip atau kaedah pengagihan lain.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya dan Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Yusuff Manan.
