Pekerja Sabah Electricity dikhuatiri lemas Dibawa Arus

KENINGAU: Seorang lelaki yang juga kakitangan Sabah Electricity dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan, Apin-apin, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia lingkungan 30-an dilaporkan bersama dua lagi rakan sekerja sebelum mereka terperangkap akibat limpahan air banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, dua daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dilaporkan hilang.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam dan sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sejauh 26 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, seorang mangsa dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan. Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan di kawasan persisiran sungai,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Beliau berkata, mangsa terakhir dilihat memakai vest Sabah Electricity sebelum hilang dibawa arus.

Setakat ini, operasi mencari masih diteruskan dengan kekuatan anggota bomba dan dibantu agensi lain.