Utamakan Penyelesaian Isu Air, Demi Kesejahteraan Mahasiswa – Kasim

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan keputusan tidak melaksanakan pengurangan yuran meskipun terdapat desakan daripada kumpulan pelajar dikenali sebagai Suara Mahasiswa (SM).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, dana universiti lebih wajar dimanfaatkan untuk menambah baik fasiliti terutama berkaitan kemudahan air yang telah menjejaskan kampus sejak beberapa bulan lalu.

“Penyelesaian isu air memberi impak lebih besar dan berpanjangan berbanding pengurangan yuran yang hanya bersifat sementara.

‘Universiti komited memastikan mahasiswa dapat belajar dalam keadaan lebih kondusif,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, UMS dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk pembinaan sistem rawatan air bawah tanah (tubewell), pemasangan tangki simpanan tambahan, pengagihan air melalui lori tangki ke kolej kediaman serta pembekalan air minuman kepada pelajar.

Katanya, pihak universiti turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi pemantauan bersepadu.

Dalam masa sama, Kasim menjelaskan yuran pengajian di UMS telah disubsidi kerajaan lebih 90 peratus dan jumlah yang dibayar pelajar amat minimum berbanding kos sebenar.

“UMS amat menghargai perhatian serta bantuan kementerian, justeru adalah tidak wajar untuk Menteri Pendidikan Tinggi dipersalahkan dalam isu ini,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak terus memberi kerjasama dan menyalurkan pandangan melalui saluran betul agar usaha membaik pulih infrastruktur dapat dijalankan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan bersama.