Hajiji turun padang lawat mangsa bencana, salur bantuan di Penampang dan Putatan

PENAMPANG – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tetap turun padang meninjau mangsa banjir dan tanah runtuh di Penampang dan Putatan hari ini, meskipun hujan lebat berterusan membasahi kawasan terjejas.

Lawatan beliau bermula di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Sarapung sekitar jam 5.30 petang sebelum ke beberapa lokasi lain di Putatan yang turut dilanda bencana. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Di PPS Kampung Sarapung, Hajiji menerima taklimat daripada Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPPg), Puan Normi Dyena John Tren sebelum menyampaikan bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada 40 Ketua Isi Rumah (KIR).

Bantuan itu disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri (JPBN) bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda dan terpaksa dipindahkan akibat banjir serta tanah runtuh yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri dan persekutuan akan terus menyalurkan bantuan dalam tempoh terdekat, termasuk melalui Yayasan Kebajikan Negeri Sabah. Katanya, keutamaan kerajaan adalah memastikan kebajikan rakyat tidak terabai walau dalam apa jua keadaan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat. Setiap mangsa bencana akan dibantu supaya mereka tidak berasa terpinggir,” tegas beliau kepada pemberita.

Ketua Menteri turut melawat dua PPS di Putatan iaitu Dewan Seri Keramat di Ketiau dan Dewan PPR Seri Serigai, melibatkan lebih 90 keluarga mangsa. Beliau turut meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens berhadapan SICC.

Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan NADMA atas peruntukan RM10 juta bantuan bencana kepada Sabah, sebagai tambahan kepada RM11 juta yang disediakan kerajaan negeri dalam usaha menangani krisis yang menjejaskan ribuan penduduk di beberapa daerah.