Pegawai Daerah Diminta Turun Padang, Dekati Rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan integriti, profesionalisme dan kecekapan pentadbiran daerah menjadi kunci utama menjayakan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah adalah penghubung utama kerajaan dengan rakyat, justeru mereka perlu telus, proaktif dan dekat dengan masyarakat agar projek pembangunan dapat dilaksanakan berkesan.

“Saya mahu pegawai daerah bukan sekadar menjaga amanah, tetapi memastikan setiap projek benar-benar sampai kepada rakyat dengan penuh integriti.

“Permudahkan urusan rakyat dan hentikan kerenah birokrasi,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28 di sini hari ini.

Menurutnya, cabaran pentadbiran daerah semakin besar berikutan tuntutan rakyat yang meningkat serta perubahan sosio-ekonomi global yang dipacu teknologi.

Pegawai daerah, katanya, perlu mendengar keluhan rakyat dan memastikan dasar kerajaan memberi impak langsung kepada kehidupan mereka.

Hajiji turut menegaskan integriti dan profesionalisme adalah tunjang pentadbiran, justeru setiap keputusan mesti berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab.

Mengulas pencapaian SMJ 1.0, beliau berkata kerajaan negeri berjaya mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar selain melaksanakan inisiatif seperti pembinaan 7,482 unit Rumah Mesra SMJ sejak 2022, dengan 4,540 unit siap dibina sehingga Ogos lalu.

Katanya lagi, tiga daerah kecil iaitu Paitan, Membakut dan Sook telah dinaik taraf menjadi daerah penuh, manakala beberapa daerah kecil lain berpotensi diberi status sama jika memenuhi kriteria ditetapkan.

Hajiji turut menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan gagal membawa pembangunan, sebaliknya menyifatkan ia sebagai dakyah politik.

Beliau berharap persidangan kali ini mampu melahirkan resolusi praktikal selaras tema “Daerah Maju, Rakyat Sejahtera”.