KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas 20.7 kilogram dadah jenis ketamin bernilai lebih RM1.03 juta dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Kepayan, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dilakukan hasil risikan serta maklumat awam pada 4 September lalu.
“Dalam serbuan itu, polis menemui dua karung berisi 20 bungkusan plastik bertulisan Tie Guan Yin yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan empat individu, termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran.
“Kesemua suspek berusia antara 36 hingga 58 tahun terdiri daripada seorang pengurus, kerani operasi dan pemilik syarikat kurier.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan perkhidmatan kargo udara dari Semenanjung Malaysia untuk menghantar bekalan dadah ke Sabah,” ujarnya.
Menurutnya, Polis turut menyita pelbagai aset mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan haram itu, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM4.21 juta.
Antara yang disita:
Lima kenderaan mewah termasuk Lamborghini Aventador, Mercedes-Benz, Toyota Alphard dan Chevrolet Colorado, Wang tunai, peralatan elektronik, barangan berjenama serta beg tangan mewah.
“Saringan awal mendapati seorang suspek positif dadah jenis Meth/AMP manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau.
“Rampasan dadah ini mampu menampung hampir 160,000 penagihan sekali guna,” jelas Jauteh.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak bersekongkol atau melindungi aktiviti pengedaran dadah serta menyeru mereka yang mempunyai maklumat agar menghubungi Hotline JSJN di 012-2087222.
