Maut Tersepit, 3 Cedera Dalam Nahas

PUTATAN: Hasrat seorang lelaki berusia 31 tahun untuk meneruskan perjalanan tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya bertembung dengan Mitsubishi Triton di Jalan Belakang Kem Lok Kawi, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan Zainuddin Saidi berkata dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia di lokasi.

Katanya, dua lagi penumpang lelaki dalam Alza hanya cedera ringan, manakala pemandu Triton parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.

“Pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.08 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Putatan dan Penampang digerakkan ke lokasi.

“Operasi menyelamat dan pembersihan tamat sepenuhnya jam 6.40 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.