KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menjangka seramai 50,000 orang hadir bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Sabah yang akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens di sini pada 31 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sambutan Hari Kebangsaan 2025 menyaksikan 157 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan, mewakili pelbagai kategori termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, badan beruniform, persatuank, sukarela dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menteri Kewangan negeri itu berkata, kerajaan turut mengadakan sambutan Hari Sabah pada sebelah malam di Padang Merdeka yang menjanjikan pelbagai acara menarik.
“Pada tahun ini, kita akan menyaksikan sesuatu yang baharu apabila 50 penunggang skuter akan turut serta dalam perarakan sebagai salah satu kontinjen untuk pertama kalinya.
“Orang ramai yang berhasrat menyaksikan perarakan supaya tiba lebih awal kerana berdasarkan pengalaman sambutan pada tahun lepas, kawasan perarakan telah dipenuhi orang ramai seawal 6 pagi,” katanya pada sidang media sambutan itu di Kompleks Bersepadu, Kementerian Komunikasi di sini.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bakal menyerikan sambutan itu dan dijadualkan tiba pada pukul 7.30 pagi.
