PRN Sabah: Amir Kahar menyertai STAR Sabah secara rasmi

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Amir Kahar Datu Mustapha menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) hari ini.

Amir Khar merupakan bekas Ahli Parlimen Marudu menandatangani penyerahan borang kepada Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, disaksikan Datuk Jerry Ambuting Mohd Said.

Amir Kahar ialah anak kepada Yang di-Pertua Negara Sabah pertama serta Ketua Menteri Sabah ketiga, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

“Saya kembali menyertai politik melalui parti STAR kerana kesedarannya terhadap kedudukan Sabah yang kini tergugat bukan peperangan tetapi secara ekonomi.

“Rasuah di sana sini, inilah yang membimbangkan saya! Kalau tidak, saya ingin menikmati hidup,” jelas Amir Kahar.

Menurutnya, beliau menyifatkan tindakan ini sebagai persediaan untuk akhirat, menekankan kepentingan berbuat baik di dunia.

“Sebab itu, saya sudah berfikir panjang sepanjang tahun ini. Inilah cara saya. Bagaimana kita menghapuskan rasuah ini, dengan cara saya menyertai politik.

“Jadi sudah berfikir cukup lama, ada kawan, Dr Jeffrey, bukan kawan tetapi saudara. Kerana, kita berjuang dari awal, dari tahun 1986 sehingga 1994, kita tidak pernah berpisah,” katanya.