PH Sabah tarik balik saman pemula terhadap kerajaan elak saman diri sendiri

KOTA KINABALU: Pasukan guaman mewakili Pakatan Harapan (PH) Sabah yang sebelum ini menarik balik saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan Negeri Sabah mengenai tuntutan 40 peratus hasil negerinya menegaskan tidak membuat keputusan itu secara sesuka hati.

Peguam mewakili gabungan politik itu, Nelson W. Angang membangkitkan kenyataan itu semula susulan beberapa dakwaan terhadap beliau dan partinya, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) sehingga memutar belit fakta berhubung penarikan balik saman pemula berkenaan dua tahun lalu.

“Saya mengetahui fakta kerana saya peguam memfailkan saman pemula dan mewakili kesemua plaintif berhujah di mahkamah supaya hak dan kebebasan memfailkan saman ini dipertahan.

“Namun, keputusan ini dibuat bukannya tanpa sebab dan sewenang-wenangnya seperti dimain dan diputarbelit oleh pihak tidak bertanggungjawab atau tidak tahu dan faham fakta sebenarnya,” kata Setiausaha Agung UPKO itu dalam kenyataan hari ini.

Pada September 2023, PH Sabah menarik balik saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah mengenai tuntutan 40 peratus hasil negerinya.

Parti Warisan (WARISAN) pernah mencabar PH Sabah memfailkan semula saman tersebut.

Pada Jun 2022, PH Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri kerajaan Persekutuan kutip.

12 pemimpin PH Sabah dalam kenyataan berkata, keputusan menarik balik saman itu mengambil kira pendapat undang-undang berhubung kedudukan plaintif dalam saman pemulanya sebagai ahli Kabinet Persekutuan dan negeri ketika ini.

12 wakil rakyat itu ialah Datuk Christina Liew Chin Jin; Datuk Ewon Benedict; Datuk Frankie Poon Ming Fung; Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Awang Husaini Sahari; Chan Foong Hin; Phoong Jin Zhe; Jannie Lasimbang; Peto Galim; Tan Lee Fatt; Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual.

Kata mereka, tidak wajar plaintif meneruskan tindakan undang-undang terhadap kedua-dua defendan yang menerajui kerajaan Persekutuan dan negeri selepas PRU15.

Bagaimanapun, katanya, plaintif bebas memfailkan semula saman tersebut jika beberapa isu tidak dipersetujui dan diselesaikan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 (Jawatankuasa Teknikal) yang dibentuk.

Pada November 2022, Datuk Ewon Benedick merupakan Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilaporkan berkata, saman terhadap Kerajaan Persekutuan berkaitan 40 peratus hasil negeri Sabah tidak akan ditarik balik walaupun gabungan itu berjaya membentuk kerajaan bersama parti politik lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Nelson mengulangi alasan sebelum ini yang membawa kepada penarikan balik saman pemula itu, antaranya plaintif (PH) masih pembangkang (ketika memfailkan saman) dan pembentukan kerajaan Persekutuan baharu dianggotai parti campuran selepas PRU15.

“Telah dibangkitkan pendapat undang-undang berhubung kedudukan plaintif dalam saman pemula sebagai ahli Kabinet Persekutuan dan tidak wajar dari segi undang-undang untuk wakil-wakil rakyat ini meneruskan saman pemula.

“Ini kerana, mereka menyaman diri mereka sendiri memandangkan mereka (plaintif) kini sebahagian dan mewakili kerajaan Persekutuan.

“Kami telah ambil kira keputusan akhir mahkamah terhadap saman pemula ini boleh mengambil masa bertahun untuk menemui penyelesaian (kerana rayuan-rayuan yang akan dibuat ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Katanya, kerajaan Persekutuan baharu membentuk Jawatankuasa Teknikal dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 – JKTMTPMA63 untuk meneliti, berbincang dan menunaikan hak perlembagaan Sabah dan Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kemudian Ewon (antara plaintif) sebagai ahli tetap Jawatankuasa Teknikal (dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof) dan ke Jawatankuasa Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Jelasnya, perlantikan ke dalam kedua-dua jawatankuasa itu membolehkan tuntutan plaintif didengar, dipertimbang dan diterima.

“Hasilnya, Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) 1995 dipinda di Parlimen yang mana kini terdapat wakil dari kerajaan negeri Sabah dan Sarawak di dalam Lembaga Pengarah LHDN yang mana pendedahan terhadap jumlah bersih daripada hasil yang dikutip atau diperolehi dari Sabah setiap tahun dapat dibuat dan diketahui kepada setiap wakil kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan juga menggantikan semakan lama 2022 dengan menaikkan pembayaran berbentuk interim RM300 juta pada 2023 dan pembayaran interim seterusnya naik kepada RM600 juta pada 2025.

“Pembayaran interim ini berbentuk sementara sehinggalah pembayaran berkenaan dengan 40 peratus ini dimuktamad dan ini tidak menjejaskan hak Sabah menuntut pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus untuk tahun-tahun yang terjejas berbeza dengan pembayaran semakan tahun 2022 yang dibuat terdahulu dalam kerajaan sebelumnya,” katanya.

Katanya, mereka menarik balik saman pemula kerana Jawatankuasa Teknikal MA63 memutuskan hak Sabah berdasarkan formula 40 peratus akan menjadi satu agenda dalam jawatankuasa teknikal MA63 dan dijangka selesai dalam tempoh 12 bulan bermula dari 18 Julai 2023.

“Namun, berlaku kelewatan kerana kerajaan negeri lewat mengemukakan tuntutan 40 peratus secara rasmi untuk Jawatankuasa Teknikal MA63 berbincang dan meneliti tuntutannya. Kini, kerajaan Sabah sudah kemukakan tuntutan 40 peratus secara rasmi,” katanya.