Kes Kematian Zara Qairina: G57 tawar bantuan guaman kepada keluarga mangsa

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dipercayai melibatkan unsur buli serius di sebuah sekolah.

G57 dalam satu kenyataan media mengumumkan komitmen baharu untuk menyediakan bantuan guaman tambahan kepada keluarga mangsa khususnya ibu kepada Zara sebagai usaha memperjuangkan keadilan dan mendesak ketelusan penuh daripada pihak berkuasa.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, G57 pada peringkat awal memilih untuk memberi ruang kepada siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut proses perundangan. 

“Namun kelewatan dan kekurangan maklumat yang dikongsi secara terbuka menimbulkan keresahan serta kecurigaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan itu, G57 turut menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa pun boleh dikecualikan daripada undang-undang, tanpa mengira status sosial atau kedudukan keluarga.

“Sehubungan itu, G57 memaklumkan tiga tindakan utama yang akan diambil termasuklah menyediakan peguam tambahan kepada keluarga mangsa dan menasihatkan keluarga untuk mempertimbang tindakan saman sivil terhadap pihak sekolah atau individu yang didakwa lalai atau bersubahat.

“Kita juga akan mendesak pihak berkuasa agar memberikan kemas kini siasatan secara telus dan berkala kepada umum,” katanya.

Katanya, insiden tragis itu bukan hanya tragedi peribadi kepada keluarga Zara, tetapi juga gambaran jelas tentang isu sistemik yang semakin membarah khususnya berkaitan budaya buli dan keselamatan pelajar di institusi pendidikan.

“Pihak sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia serta agensi penguat kuasa undang-undang harus tampil bertanggungjawab dan melaksanakan pelan pembaikan segera,” katanya.