KUNAK : Pembangunan Bandar Baharu Kunak bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di daerah ini sekali gus menyumbang kepada kemajuan menyeluruh negeri Sabah dalam jangka masa panjang.
Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pembinaan bandar moden itu menandakan satu detik bersejarah buat Kunak apabila menjadi pusat pertumbuhan baharu yang serba lengkap serta strategik.
Beliau berkata, projek berimpak tinggi yang dibangunkan secara berfasa dalam tempoh lima hingga 15 tahun itu dijangka mengubah landskap daerah Kunak dan membuka ruang kepada pelbagai peluang ekonomi serta pelaburan.
“Saya cukup tertarik dengan perancangan yang dibentangkan oleh pihak konsultan kerana ia bukan sahaja akan membina bandar moden, malah akan menjadi teras baharu kepada pelbagai aktiviti ekonomi di Kunak.
“Kita yakin, bandar baharu ini akan membuka lebih banyak peluang untuk Kunak bergerak maju seiring bandar-bandar lain di Sabah,” katanya di sini hari ini.
Masidi berkata, pemilihan lokasi berhampiran Lebuhraya Pan Borneo memberikan kelebihan besar kepada Kunak sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu, khususnya dalam menghubungkan daerah ini ke pusat bandar utama seperti Kota Kinabalu.
Katanya, keyakinan pelabur terhadap potensi Kunak juga jelas terbukti apabila Amazing Synergy Realty Sdn Bhd memilih daerah itu sebagai lokasi pelaburan utama mereka.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, malah pengguna Lebuhraya Pan Borneo yang melalui kawasan ini turut mendapat kemudahan daripada pembangunan ini,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan bandar itu juga diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan daerah yang selama ini kurang diberi tumpuan meskipun memiliki pelbagai produk pelancongan berpotensi.
“Kemudahan tempat tinggal dan infrastruktur pelancongan masih kurang di Kunak. Dengan pembangunan ini, kita yakin pihak pemaju akan menyediakan kemudahan lengkap yang boleh merangsang sektor pelancongan.
“Malah, pembangunan ini juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada industri lain seperti pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya.
Tambahnya, dengan jaringan lebuh raya yang lebih cekap, hasil-hasil pertanian dari Kunak boleh dipasarkan ke kawasan lain termasuk Kota Kinabalu dalam tempoh yang lebih singkat.
Mengulas lanjut, Masidi berkata pembangunan di daerah kecil seperti Kunak yang memiliki populasi sekitar 65,000 hingga 68,000 orang memerlukan pendekatan berbeza, namun tetap memberi impak besar jika dilaksanakan dengan strategi tepat.
“Ekonomi negeri yang berkembang bukan hanya bergantung kepada bandar besar, tetapi juga daerah-daerah seperti Kunak yang sumbangannya, walaupun berskala kecil, tetap memberi impak kumulatif kepada Sabah secara keseluruhan,” katanya.