GRS Wajar Bertanding 53 Kerusi Pada PRN Sabah – Muammar

TAMPARULI : Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) hanya akan diterima rakyat jika GRS menjadi parti dominan dalam gabungan tersebut.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi berkata, GRS wajar bertanding sekurang-kurangnya 53 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menjelang PRN nanti.

Katanya, ini penting, bagi memastikan suara rakyat Sabah terus kuat sekali gus tidak akan dipinggirkan selepas pilihan raya nanti.

“Sebagai parti tempatan, GRS lebih memahami denyut nadi serta aspirasi yang diperlukan oleh rakyat Sabah.

“Jika GRS memimpin kerajaan negeri dengan jumlah kerusi terbesar, campur tangan parti luar dalam pentadbiran dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Muammar mengulas kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu mempertahankan kerjasama PH pada PRN17 Sabah.

Muammar turut menekankan kepentingan GRS yang kuat dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan pengembalian 40 peratus hasil cukai yang dikutip di Sabah.

“Sejak tahun 1972, tuntutan hasil 40 peratus masih belum dikembalikan oleh kerajaan Persekutuan.

“Hanya GRS yang dominan boleh memperjuangkan perkara ini secara konsisten tanpa diganggu kepentingan politik luar,” jelasnya.

Menurutnya, beliau percaya bahawa kestabilan politik negeri hanya dapat dicapai sekiranya GRS mengetuai pentadbiran negeri.

“Ini sekali gus mengelakkan insiden lompat parti, pergolakan dalaman gabungan, dan kelemahan dalam sistem pentadbiran.

“Kerjasama GRS dan PH bukanlah satu bentuk penyerahan kuasa, sebaliknya strategi untuk membina kerajaan yang stabil, adil dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, GRS mesti kekal sebagai penentu dasar negeri bagi menjamin hak dan suara rakyat Sabah tidak terabai.

Muammar menyeru rakyat Sabah agar menyokong kerjasama GRS dan PH jika dan hanya jika GRS menjadi tunjang utama dalam kerajaan negeri demi masa depan Sabah yang lebih stabil, makmur dan berdaulat.