KOTA KINABALU : Dakwaan pihak pembangkang peningkatan pinjaman Kerajaan Negeri Sabah daripada Kerajaan Persekutuan merupakan manipulasi politik dangkal sekali gus berniat menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan sedia ada.
Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Nasrah berkata, hantaran dimuat naik laman pro-pembangkang, melalui Mawar Channel memetik Hansard soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P. Alian, telah dimanipulasi untuk menggambarkan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor gagal mengurus kewangan negeri.
Katany, peningkatan pinjaman tidak seharusnya disamakan dengan kegagalan pengurusan kewangan.
“Malah dalam konteks ekonomi moden, ia boleh menjadi strategi kewangan yang berhemah sekiranya digunakan untuk pembangunan berimpak tinggi kepada rakyat.
“Pinjaman disebut Menteri Kewangan di Dewan Undangan Negeri merupakan ‘Good Debt’ atau hutang baik, iaitu pinjaman disalurkan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, pinjaman ini tidak disalah guna seperti yang didakwa malah melalui proses perancangan rapi dan digunakan bagi melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat.
“Setiap perbelanjaan ini turut diaudit secara tahunan oleh Jabatan Audit Negara.
“Tomahan kononnya pinjaman tersebut membebankan negeri adalah cerminan kepada kefahaman cetek pembangkang terhadap pengurusan fiskal dan dasar ekonomi pembangunan,” jelas Aksyah.
Menurutnya, sekiranya Kerajaan Negeri tidak diyakini berkeupayaan membayar balik pinjaman sudah tentu Kerajaan Persekutuan tidak akan menyalurkan kemudahan tersebut.
“Tawaran pinjaman itu sendiri adalah isyarat kepercayaan terhadap rekod cemerlang pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri.
“Kenyataan sesetengah pihak pembangkang memperlekeh pencapaian negeri dalam memperoleh hasil berjumlah berbillion ringgit adalah tidak bertanggungjawab dan berbaur iri hati,” katanya.
Aksyah berkata, mereka pernah mentadbir manakala hasil negeri tidak pernah mencapai tahap seperti sekarang.
“Malangnya, kini mereka cuba memperlekeh kejayaan ini dengan sindiran sinis yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.
“Hasil negeri yang meningkat digunakan untuk memperkukuh aliran tunai kerajaan, merangsang pertumbuhan ekonomi sekali gua membiayai projek pembangunan merangkumi pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat,” tambahnya.
