Ewon rasmi Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Kimanis

MEMBAKUT : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Kimanis yang terletak di Tingkat 1, Lot 18, Block C, Membakut Jaya, di sini, hari ini.


Beliau berharap pembukaan pejabat itu akan membantu membangunkan lebih ramai usahawan berjaya di Membakut dan Kimanis.


“Semua perkara besar bermula daripada perkara kecil, seperti juga dengan pembukaan Pejabat Tekun Cawangan Kimanis. Saya pasti pembukaan pejabat baru ini akan memudahkan semua usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di sini.


“Ini merupakan inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan Kerajaan Madani melalui agensi kementerian dan saya yakin TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya terbaik kepada masyarakat terutama usahawan informal dan mikro,” katanya.


Ewon berkata, di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara KUSKOP, beliau beriltizam untuk memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dalam gerakan pembangunan keusahawanan,  koperasi serta pendidikan.


Justeru itu katanya, pembukaan pejabat agensi-agensi KUSKOP di Sabah adalah antara inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia di wilayah Borneo.


“Pembukaan cawangan ini juga lahir daripada permintaan pemimpin-pemimpin tempatan Membakut, iaitu Datuk Mohamad Alamin selaku Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif selaku ADUN Membakut dan Rowindy Lawrence selaku Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional.


“Kebersamaan dan kerjasama kesemua pimpinan bersama rakyat pastinya akan membawa berkat kepada negara, negeri dan daerah yang diwakili seperti yang diserlahkan pada hari ini,” katanya.