Yayasan Bank Rakyat umum Syaiful Rizal sebagai CEO baharu

KOTA KINABALU : Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengumumkan pelantikan Syaiful Rizal Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu.

Jabatan Komunikasi Korporatnya, dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan, pelantikan Syaiful Rizal dicadangkan Datuk Ewon Benedict, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi dan dipersetujui oleh Lembaga Pemegang Amanahnya.

Perubahan pucuk pimpinannya itu adalah sebahagian daripada strategi penyusunan semula dalaman organisasi itu.

Pelantikan Syaiful Rizal yang sebelum ini menjawat jawatan Pengurus Besar YBR adalah untuk mempertingkatkan lagi prestasi, kecekapan dan integriti YBR.

Sepanjang perkhidmatan, YBR menerima pelbagai anugerah antaranya Anugerah ‘Top Community Centric Companies in Asia’ di ACES AWARD (2024) di Bangkok, Thailand.

Selain itu, Anugerah ‘Foundation Of The Year’ Bagi Kategori Perbankan (2022, 2023 & 2024); Anugerah Kategori Khas Champion CSR Award di Bumiputera Business Excellence Award (2023).

YBR juga telah disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan yang memperoleh markah penuh bagi setiap penilaian ketelusan yang dijalankan lebih dari 1,600 yayasan di seluruh negara oleh WIKI Impact (2023).

Lembaga Pemegang Amanah YBR meletakkan kepercayaan kepada Syaiful Rizal dalam menerajui organisasi ini di mana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan aktiviti pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat.