KOTA KINABALU : Sebanyak 1,256 notis saman dikeluarkan dalam operasi khas penguatkuasaan sempena Tahun Baru Cina bermula sejak 20 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Mohd Harris Ali berkata, sepanjang dalam tempoh tersebut 7,263 kenderaan diperiksa manakala 635 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di seuruh negeri.

Katanya, sepanjang operasi khas tersebut tiga kesalahan tertinggi direkodkan iaitu 259 kes tiada Lesen Memandu (CDL), 299 kes Lesen kenderaan tamat tempoh manakala 214 tiada perlindungan insuran.
“Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 51 Notis Saman JPJ(P)23, 114 Notis Arah Periksa, dua Notis Temu Siasat, dua Notis Penahanan Kenderaan, tujuh Notis Arah Timbang dan 79 keping PG.1.
“Melalui operasi khas sehingga 9 Februari 2025, JPJ memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya di sini semalam.
Mohd Harris berkata, antara kesalahan tersebut merangkumi memandu melebihi had laju serta tidak mematuhi isyarat lampu merah.
“Selain itu memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit,” jelas Mohd Harris.
Menurutnya, JPJ akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak memakai tali pinggang kalendar, memandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan.
“JPJ akan melaksanakan sekatan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan selama empat hari, sebelum dan selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu pada 27 dan 28 Januari serta satu hingga 2 Februari 2025.

“JPJ Sabah menyeru kepada semua rakyat Malaysia khasnya di Sabah agar menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama e-aduan selain SISPAA, aduantrafik@jpj.gov.my dan aduantrafik.sabah@jpi.gov.my,” kata Mohd Harris.
Beliau menambah, ini bagi membantu pihak JPJ mengambil tindakan pantas kepada pemandu yang tidak mematuhi undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan.
