TAWAU : Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki merogol anak tirinya berusia sembilan tahun dalam operasi dijalankan di sebuah bangunan Ladang di Kalabakan, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 32 tahun itu bertindak mengugut mencederakan serta membunuh anaknya sekiranya bekas isteri suspek membuat laporan polis.
Katanya, Polis berdasarkan laporan daripada bekas isterinya kemudiannya berjaya memberkas seorang suspek kira-kira jam 6.00 petang kelmarin.
“Mangsa sebelum ini dijaga bapa tirinya kemudiannya menceritakan segala perbuatan bapa tirinya kepada ibunya pada 20 Januari lalu di rumahnya.
“Siasatan awal mendapati, suspek melakukan jenayah seksual terhadap anak tirinya sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
“Kita menyeru masyarakat agar sentiasa peka terhadap isu keganasan dan penderaan terhadap kanak-kanak sekali gus mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa,” jelas Jasmin.
