Hayati semangat perjuangan PBS pada tahun 1985 – Dr. Joachim

TAWAU : ‘Semangat perjuangan 1985’ menjadi tunjang kepada pemangkin Jelajah Konvoi Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dilancarkan Ahad lalu.

Pemangku Presiden, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, beliau menyeru kepada Pergerakan Pemuda PBS untuk menghayati semangat perjuangan 1985 diperjuangkan pemimpin PBS terdahulu sekali gus menerangkan perjuangan parti kepada semua belia  di negeri ini.

Katanya, perjuangan PBS adalah semata-mata untuk mempertahankan serta menuntut hak-hak rakyat Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Justeru, banyak tuntutan yang telah dituntut oleh PBS bagi kepentingan seluruh rakyat Sabah.

“PBS akan kekal menuntut semua hak tersebut yang merupakan hak mutlak sekali gus termaktub dalam perlembagaan MA63,” kata.

Joachim merupakan Timbalan Ketua Menteri II berkata, PBS merupakan sebagai parti tempatan tertua di Sabah terdiri daripada kalangan pelbagai kaum serta agama.

“Sebagai parti tempatan adalah menjadi tanggungjawab PBS untuk terus menuntut apa yang sepatutnya dituntut bagi kepentingan rakyat Sabah.

“Antara termasuk dalam sektor pendidikan, kesihatan, pembangunan dan lain-lain bagi keperluan rakyat di negeri ini,” jelas Jocahim.

Menurutnya, beliau menyeru kepada Pergerakan Pemuda untuk memperkasakan PBS sekali gus memperbanyakkan lagi program seperti Jelajah Konvoi ini ke seluruh Sabah.

“Kita ingin mengulangi bahawa PBS akan tetap kekal bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita akan bekerja keras dengan rakan-rakan dalam GRS bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” kata Jocahim.

Beliau berkata, PBS ingin mengekalkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan selepas PRN akan datang.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui,  Ketua Pegerakan Pemuda PBS, Dr. Christoper Mandut serta Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.