Sabah FC mahu berjuang kutip tiga mata penuh di laman sendiri malam esok – Kim Swee

KOTA KINABALU : Sabah FC memasang impian untuk membenam Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super yang akan berlangsung di Stadium Likas malam esok (khamis).

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau menyedari NSFC adalah lawan berbahaya kerana memiliki barisan pemain yang bagus namun pihaknya akan berjuang untuk mendapatkan tiga mata penuh.

Menurut Datuk Ong pihaknya perlu mendapatkan keputusan positif selepas tewas dua perlawanan di laman sendiri sekali gus memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan pada malam esok.

“Kita tewas kepada pasukan Terengganu FC dan harus melupakan bab Piala FA…. Tempohari juga Sabah FC tewas kepada JDT, jadi kita akan fokus memberi tumpuan semula kepada perlawanan Liga Super.

“Perlawanan menentang NSFC sangat penting untuk kita menambah keyakinan serta memastikan Sabah FC tidak lagi akan kehilangan mata sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super,” katanya dalam kenyatan media hari ini.

Kim Swee berkata, berdasarkan kepada prestasi semasa Sabah FC dijangka akan mencapai keputusan cukup positif pada perlawanan menentang NSFC pada malam esok.

“Beraksi di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada Sabah FC pada perlawanan malam esok.

“Seboleh-bolehnya kita ingin memperoleh tiga mata berharga pada perlawanan esok. Kita sudah bersiap sedia dari segi taktikal, mental serta meningkatkan keupayaan pemain untuk memberikan komitmen tinggi untuk mencapai keputusan positif,” jelas Kim Swee.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai barisan pemain pada malam esok beliau bekata, ketika ini kelihatan beberapa pemain muda Sabah FC II menyertai beberapa sesi latihan bersama skuad senior.

“Kita memberikan mereka peluang untuk menimba pengalaman, ini merupakan pemain Sabah FC II yang tidak bersama di Kuala Lumpur, mereka mengikuti latihan untuk mencari keserasaian dalam kalangan pemain sedia ada.

“Pada masa yang sama beberapa pemain daripada Liga Super diturunkan ke pasukan Sabah FC II jadi mereka berpeluang bersama-sama menyertai sesi latihan.

“Kita ingin membuat penilaian dahulu, sebelum menentukan sama ada mereka ini akan diberikan peluang atau sebaliknya untuk beraksi pada malam esok,” kata Kim Swee.