PUTATAN : Sabah memerlukan modal insan cemerlang dan berkualiti bagi memacu agenda pembangunan negeri.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, dalam perkembangan dunia digital banyak peluang pekerjaan diwujudkan yang mana ada antaranya dalam sektor ekonomi Gig.
Katanya, perkembangan pekerjaan seperti ini sangat baik kerana terbukti boleh menjana pendapatan yang tinggi.
“Namun alasan sebahagian masyarakat yang menyatakan bahawa tidak perlu belajar tinggi-tinggi, masih boleh berjaya dalam perniagaan dan boleh menjana pendapatan yang tinggi itu kurang tepat.
“Ya betul itu adalah kesan usaha gigih peniaga dalam industri tersebut namun bagi negeri dan juga negara, kita memerlukan modal insan yang cemerlang dan berkualiti untuk meneruskan agenda-agenda pembangunan negeri serta negara,” katanya di sini hari ini.
Shahelmey merupakan Ahli Parlimen Putatan berkata, selain industri tersebut Sabah masih memerlukan ramai guru agama, doktor, jurutera, peguam, akauntan, guru terutama guru pendidikan khas dan pensyarah yang berilmu.
“Andai kata kita tidak mementingkan pembangunan pendidikan yang melahirkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti, bagaimana kita membina kemajuan pembangunan negeri yang ingin kita capai terutama dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Oleh itulah, pada setiap tahun pihak kami (Pejabat Parlimen Putatan) memainkan peranan kecil untuk menyuntik semangat motivasi kepada para pelajar daerah ini yang mencapai keputusan yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelas Shahelmey.
