150,000 penduduk terjejas akibat kemarau di Papar

 

PAPAR : Sebanyak 44 kampung, 37 sekolah melibatkan 19 taman perumahan serta lapan rumah ibadat dalam daerah Papar yang membabitkan 150,000 penduduk terjejas akibat kemarau.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah berkata, operasi menghantar bekalan air bersih pada hari ini dijalankan 18 lokaliti di seluruh Daerah Papar.

Katanya, penghantaran bekalan air bersih melibatkan 11 lori sewaan PKOB, 15 lori agensi kerajaan dan enam buah lori sukarelawan yang melibatkan 200 petugas.

“Ini juga membabitkan daripada 27 agensi kerajaan, swasta dan NGO bekerjasama melaksanakan operasi agihan air.

“Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) meneruskan usahanya merawat air Sungai Papar-Mandalipau menerusi kaedah Water Sanitation and Hygine (WASH).

“Semalam pasukan tersebut berjaya menghasilkan air bersih sebanyak 6,360 liter untuk diagihkan kepada penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Fuad berkata, selepas penelitian sampel air oleh Jabatan Air Daerah Papar, air yang dirawat itu
disahkan menepati piawaian dan selamat untuk digunakan.

“Jabatan Air Daerah Papar melaporkan kerja-kerja pembaikan salah satu pam yang rosak di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, hari ini selesai.

“Dengan itu, pengeluaran air kini dapat dikembalikan semula kepada jumlah maksimum 40 MLD.

“Februari lalu, satu daripada tiga pam di LRA itu didapati mengalami kerosakan dan menjejaskan jumlah pengeluaran air sebanyak 5MLD. Kelewatan pembaikan adalah disebabkan alat ganti yang terpaksa ditempah dari luar negara,” jelas Mohd Fuad.

Menurutnya, orang ramai yang berada dalam situasi kecemasan akibat fenomena El Nino ini,
boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“PLOB ini dianggotai pelbagai agensi serta jabatan dan telah diaktifkan 24 jam di Aras Bawah, Bangunan Urus Setia Daerah Papar dan talian 088-914999,” kata Mohd Fuad.